PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican pada Ahad menggesa mereka yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) agar melaksanakan tanggungjawab sosial dalam usaha mengekang penularan virus Influenza A (H1N1).
Beliau berkata mereka seharusnya tidak pergi ke tempat-tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak seperti sekolah, pusat-pusat latihan dan tempat kerja kerana penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat-tempat sedemikian.
"Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak yang mengalami gejala ILI tidak dihantar ke sekolah, pengurus pusat-pusat latihan mengasingkan dengan segera pelatih yang sakit dan mereka yang bekerja tidak pergi ke tempat kerja atau ke tempat-tempat tumpuan awam yang lain.
"Jika mereka yang bersimptom ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut dan mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mohd Ismail berkata sejumlah 41 kes baru dilaporkan sah positif Influenza A (H1N1) sehingga jam 5.30 petang semalam, menjadikan keseluruhan meningkat kepada 14,033 kes.
Beliau berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah 655, di mana 14.5 peratus atau 95 daripadanya telah disahkan positif Influenza A (H1N1).
Sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah empat kejadian kluster ILI dilaporkan dari tiga negeri iaitu 22 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Merang Suria, Setiu, Terengganu; 15 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Cheneh Cemerlang, Kemaman, Terengganu; 13 kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Tangkas, Kuala Kangsar, Perak; dan 3 kes di Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Johor.
Mohd Ismail berkata orang awam juga diminta untuk terus mengamalkan langka-langkah mudah mencegah penularan virus H1N1 termasuk membasuh tangan dengan kerap dengan menggunakan air atau sanitiser, terutama selepas batuk dan bersin, mengamalkan adab batuk yang baik, serta mengamalkan cara hidup sihat termasuk mengamalkan diet seimbang, kerap bersenam, tidur secukupnya dan minum banyak air.
"Langkah-langkah mudah di atas sudah terbukti berkesan mengekang penularan H1N1," katanya.
Mohd Ismail berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus Influenza A (H1N1) seperti kemudahan vaksinasi kepada kumpulan berisiko, serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman sesawang http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-8881 0200/0300.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pemberian vaksin pelalian H1N1 secara percuma di hospital kerajaan masih berjalan serta mendapat sambutan positif daripada golongan barisan hadapan dan berisiko.
Barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, polis, dan kastam.
"Sehingga kini kita sudah mencapai 60 peratus dalam pemberian vaksin itu, cuma kurang 180,000 dos vaksin lagi yang belum digunakan.
"Kita akan menambah jumlah itu jika terdapat keperluan," katanya selepas melancarkan Karnival Sihat 1Malaysia di Dataran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa.
Sumber daripada www.bernama.com.my
No comments:
Post a Comment